Comments

Pages

Sunday, January 24, 2010

Dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, Menjejaki Warisan Sejarah Yang Masih Teguh dan Terpelihara.

Posted by at 6:12 AM Read our previous post
Disediakan oleh : Nur Aini bt Subani

Gambaran awal mengenai Kuala Lipis yang diperolehi dari seorang rakan yang berasal dari daerah tersebut berserta sedikit rujukan dari internet, membuatkan saya merasakan bahawa kajian lapangan kali ini amat menarik kerana lokasinya yang agak terpencil berbanding bandar-bandar besar yang lebih moden serta wujudnya bekas peninggalan zaman kolonial yang masih terpelihara dan dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Rupa-rupanya masih ramai lagi yang tidak mengetahui bahawa Kuala Lipis yang begitu sinonim sebagai tempat penyanyi nombor satu negara iaitu Dato’ Siti Nurhaliza dibesarkan mempunyai warisan sejarah zaman kolonial yang amat penting untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurut seorang novelis Indonesia iaitu, Pramoedya Ananta Toer:

“Kalau orang tidak tahu sejarah, ia tidak akan faham masa kini, apalagi masa depan. Semua kesalahan yang kita lakukan selama ini terjadi kerana kita tidak tahu sejarah.”

Dari tulisan novelis tersebut dapat kita lihat betapa sejarah itu dapat menjadikan manusia lebih mengenali jati diri bangsanya sendiri serta berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan.

Ikuti catatan perjalanan saya bersama rakan-rakan selama empat hari tiga malam dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis menjejaki warisan sejarah serta menjalankan kajian lapangan di beberapa buah bangunan bersejarah yang terpilih.

Khamis, 14 Januari 2010

Seawal jam 8 pagi semua pelajar tahun akhir Ukur Bangunan yang mengambil subjek Projek Bersepadu IV berkumpul di Fakulti Alam Bina. Masih banyak perkara perlu diselesaikan sebelum kami bertolak ke Kuala Lipis, Pahang iaitu sebuah daerah yang kebanyakan dari kami hanya pernah mendengar namanya sahaja.

Persiapan terakhir bagi setiap kumpulan diatur. Peralatan dan kelengkapan bagi menjalankan ukur kondisi telah dikumpulkan. Begitu juga segala senarai semak dan soalan kaji selidik yang diperlukan untuk analisis tapak. Walaupun ada sedikit rasa tidak puas hati dan kekeliruan mengenai soalan kaji selidik (telah menjadi perkara biasa dalam proses pembelajaran), persiapan terakhit terus diatur sebelum kami semua dijangka bertolak pada pukul 2 petang nanti.

Tepat jam 1.30 petang, para pelajar telah mula berkumpul di terminal bas Universiti Malaya. Masing-masing amat teruja kerana setelah hampir 3 tahun menuntut disini inilah kali pertama kami berpeluang menaiki bas UM lebih-lebih lagi untuk menjalankan kajian lapangan seperti ini. Sekurang-kurangnya tidaklah kami kempunan bila sudah tamat pengajian nanti. Setelah semua bagasi dan juga peralatan disusun rapi di dalam bas, masing-masing sibuk mencari tempat duduk paling selesa. Kelihatan seorang rakan, Lai Hon Kiet sibuk mengira pelajar dan mencatatkan kehadiran. Takut-takut ada yang masih belum tiba ke terminal.

Sebenarnya dari awal lagi kami rupanya tersilap informasi. Kami diberitahu bahawa tempat duduk bas hanya cukup untuk 38 orang sahaja sedangkan rombongan kami terdiri daripada 44 orang pelajar dan 3 orang pensyarah. Kekalutan yang berlaku akhirnya diselesaikan dengan beberapa orang pelajar sanggup memandu dan berkongsi kereta dengan rakan yang lain dan 2 orang pensyarah lagi menaiki bas ekspres.

Gambar : Lai sedang mencatat kehadiran didalam fail kelas

Perjalanan sejauh 145km itu memakan masa kurang dari 3 jam. Sebelum tiba di Kuala Lipis bas yang membawa kami sempat singgah di Hentian Benta sekadar untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan yang dikelilingi kehijauan hutan dan bukit bukau sewaktu melewati lebuh raya karak dan melewati bandar seperti Raub dan Bentong. Sesekali tebayang mungkin keadaan Kuala Lipis tidak ubah seperti bandar-bandar yang telah kami lewati sebelum ini.

Sebagai makluman Kuala Lipis dikatakan telah menjadi kawasan penempatan terawal di Pahang. Memandangkan kedudukan yang stategik Kuala Lipis turut dijadikan sebagai ibu negeri Pahang suatu masa dahulu sebelum dipindahkan ke Kuantan sekitar tahun 1957.

Kami tiba di kaki Bukit Residen kira-kira jam 6 petang. Rumah rehat tempat kami menginap berada di atas Bukit Residen iaitu puncak tertinggi di Bandar Kuala Lipis. Masing-masing kelihatan gembira dan tidak sabar untuk tiba ke atas puncak bukit tersebut memandangkan bas yang kami naiki mampu mendaki bukit. Jadi tidak perlulah kami berjalan kaki ke atas puncak bukit sambil memikul bagasi dan juga peralatan lain.

Rumah Rehat Bukit Residen sebenarnya merupakan kediaman kepada Hugh Cliffort yang pernah menjadi Residen British si Kuala Lipis pada suatu masa dahulu. Bukit Residen dipilih sebagai tapak yang sesuai oleh Cliffort sendiri supaya beliau mudah untuk memerhati dan mengawal seluruh Kuala Lipis. Bangunan yang dibina pada 1922 itu kini diubahsuai sebagai rumah rehat bagi kemudahan sesiapa yang ingin mendapatkan penginapan sementara di Bandar Kuala Lipis.

Rombongan kami telah memilih untuk menginap di sini memandangkan rumah rehat ini merupakan salah satu dari kajian lapangan yang terlibat dalam kajian ini.

Gambar : Bangunan Residensi

Saat pertama kali menjejakkan kaki ke dalam bangunan Residensi tersebut, mata seakan terpaku melihat keindahan senibina berunsurkan Neo-Classical dan melayu yang tersergam indah menjadikan bangunan kolonial itu begitu istimewa.

Kelihatan beberapa ruang telah ditambah dan diubahsuai dari yang asal memandangkan bangunan ini pernah beberapa kali ditukar kegunaan bermula sebagai kediaman bagi Residen British sehinggalah dijadikan sebagai Asrama Murid-murid Lelaki Sekolah Cliffort pada 1958 hingga 1965. Di ruang tamu dan lobi pula terdapat Sudut Muzium yang mempamerkan barangan sejarah Daerah Lipis seperti senjata dan peralatan tembaga. Sayangnya selepas 1965 bangunan ini pernah dibiarkan kosong tanpa penghuni sebelum dijadikan Rumah Rehat Kerajaan pada 1983.

Setelah selesai membersihkan diri dan solat maghrib, kami menaiki bas untuk mencari tempat makan yang sesuai sambil menikmati panorama malam di Bandar Kuala Lipis. Tidak seperti Kuala Lumpur, Bandar Kuala Lipis agak lengang pada waktu malam. Kebanyakan kedai sudah ditutup melainkan beberapa kedai makan di Medan Selera dan juga kedai serbaneka Seven Eleven yang kelihatan meriah dengan pelanggan. Mungkin sudah menjadi trend kedai sebaneka seperti Seven Eleven menjadi pilihan berbanding mini market dan kedai runcit biasa.

Semasa makan malam saya bersama beberapa rakan yang lain memilih sebuah gerai yang agak lengang dengan harapan makanan yang kami pesan akan cepat siap. Tambahan pula salah seorang dari kami bebesar hati untuk belanja kami makan malam di Kuala Lipis. Peluang yang jarang-jarang diperolehi seperti ini memang tidak pernah kami sia-siakan.

Keadaan yang bandar yang tenang dan keletihan mengharungi perjalanan dari Kuala Lumpur membuatkan kami menikmati makan malam dengan penuh berselera. Walaupun semasa menunggu pesanan tiba, salah seorang dari kami baru perasan bahawa gerai tersebut merupakan gerai Kelas C (bermakna gerai tersebut tidak bersih). Tapi apa boleh buat, pesanan telah dibuat terlebih dahulu. Apapun menu malam itu ikan siakap tiga rasa, tom yam dan telur bungkus memang sedap. Cuma sambal belacannya sahaja yang agak masin.

Gambar : Keadaan malam di Bandar Lama Kuala Lipis yang lengang. Hanya beberapa buah kedai sahaja beroperasi di waktu malam.

Kesempatan yang ada selepas makan malam itu kami gunakan untuk membeli makan ringan dan juga roti untuk sarapan esok pagi. Maklumlah masing-masing risau jika sukar untuk mendapatkan tempat bersarapan memandangkan jadual esok bermula seawal jam 8 pagi. Sebelum kembali ke rumah rehat, kami dibawa meninjau kehidupan malam yang begitu indah dan damai di Bandar Kuala Lipis.

Setibanya di rumah rehat, kelihatan masing-masing sibuk mengadakan perbincangan dalam kumpulan. Ketua-ketua kumpulan merupakan orang yang paling sibuk mengatur strategi dan membahagikan tugas agar maklumat dan data yang perlu dikumpulkan semasa kajian lapangan ini dapat diperolehi dan segalanya berjalan lancar.

Saya turut tidak melepaskan peluang menemuramah salah seorang penguhi rumah rehat yang sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu. Rupa-rupanya beliau merupakan kakitangan Pejabat Tanah Daerah Lipis yang dilantik secara kontrak untuk berkhidmat di sini selama lebih kurang setahun tiga bulan.

Menurutnya lagi, beliau terpaksa tinggal di rumah rehat tersebut memandangkan sukar untuk mencari rumah sewa di sekitar Bandar Kuala Lipis. Dengan kadar sewa sebangak RM500 sebulan beliau menyifatkan bahawa tiada apa yang menarik selama beliau bertugas di Kuala Lipis memandangkan kos sara hidup di bandar ini yang agak tinggi. Walau bagaimanapun setelah wujudnya Bandar Baru Kuala Lipis, telah wujud tempat-tempat seperti karaoke dan pusat snuker yang sering menjadi tumpuan bagimereka yang mahu mencari hiburan.

Responden pertama itu saya tingalkan setelah habis saya menemuramah dan juga membuat soal selidik. Malam itu sebelum meminta diri untuk pulang ke bilik, saya sempat meminta nombor telefon beliau mana tahu kalau-kalau saya berkesempatan ke pejabat tanah untuk mendapatkan peta topografi Bandar Kuala Lipis esok. Sebelum melelapkan pada malam itu mata saya berdoa agar segala urusan kami semasa menjalankan kajian lapangan ini berjalan lancar dan kami dapat kembali ke Kuala Lumpur dengan selamat.

Jumaat, 15 Januari 2010

Hari pertama di Kuala Lipis merupakan suatu hari yang amat panjang. Suasana pagi itu begitu dingin dan nyaman. Terasa begitu segar berbeza dengan suasana pagi di Kuala Lumpur yang pastinya sibuk dengan kesesakan lalu lintas dan umat manusia yang berpusu-pusu pergi ke tempat kerja. Saya dan beberapa rakan telah bersiap dari awal dan bersarapan pagi dengan menu roti dan juga nescafe tiga dalam satu yang kami bancuh sendiri. Pagi ini kami perlu berjalan kaki menuruni Bukit Residen menuju ke Pusat Penerangan Pelancongan yang terletak di seberang jalan berhampiran dengan Dataran Lipis.

Berjalan kaki menuruni bukit tidak begitu meletihkan memandangkan kami berpeluang meninjau keadaan sekeliling Kuala Lipis dari atas bukit tersebut beserta kehijauan pokok-pokok di sekitar Bukit Residen. Sesekali terlihat kelibat monyet berlari dan melompat-lompat di atas pokok mencari makanan di waktu pagi. Namun begitu hujan renyai memaksa kami mempercepatkan langkah. Mujur kami sempat tiba di Pusat Penerangan Pelancongan sebelum hujan menjadi lebat. Tetapi sayang rakan-rakan yang berjalan selepas itu semua basah kuyup terkena hujan.

Kedatangan kami disambut mesra oleh Encik Abdul Ghani Bin Abdul Hamid iaitu seorang kakitangan Majlis Daerah Lipis (MDL). Memandangkan penceramah belum tiba, kami dibawa melawat sekitar galeri pameran. Di sana terdapat pelbagai maklumat mengenai sejarah dan latar belakang Kuala Lipis dan juga bangunan-bangunan yang dibina pada zaman kolonial.

Saya begitu teruja menyaksikan pameran yang terdapat di galeri tersebut. Sesuatu yang paling menarik bagi saya adalah poster di penghujung galeri pameran yang menunjukkan kaitan antara Bandar kuala Lipis dengan Roaehamton di London yang merupakan tempat kelahiran Sir Hugh Charles Cliffort. Ketika itu barulah saya tahu bahawa Kuala Lipis turut dikenali sebagai Little London. Persamaan ketara pada pengamatan saya adalah dari segi bentuk peta Kuala Lipis dengan peta Roehamton yang kelihatan seakan-akan sama pada pandangan mata kasar. Mungkin Cliffort mengadaptasi bandar tempat kelahiran beliau itu sebagai ilham untuk membangunkan Kuala Lipis satu masa dahulu.

Gambar : Sir Hugh Charles Cliffort Supritendant of Ulu Pahang

Selesai melawat galeri kami beralih pula ke Studio Bunga Raya yang terletak bertentangan dengan galeri pameran. Di sana kami berpeluang mendengan ceramah mengenai latar belakang Kuala Lipis yang disampaikan oleh Puan Wan Norizan Bt Haji Wan Badaruzzaman iaitu setiausaha di Majlis Daerah Lipis (MDL). Beliau merupakan seorang yang berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat dengan MDL amat arif tentang Kuala Lipis memandangkan beliau merupakan orang tempatan.

Ceramah dimulakan dengan penerangan mengenai sejarah ringkas Kuala Lipis diikuti dengan latar belakang dan keistimewaannya sebagai tempat pelancongan. Melalui ceramah tersebut juga saya dapat mencari jawapan mengenai asal usul nama Kuala Lipis.

Menurut sejarah Kuala Lipis bermula sejak zaman neolitik dimana manusia pada ketika itu mendirikan penempatan yang berhampiran dengan sungai bagi memudahkan perhubungan dan juga mendapatkan sumber air. Penempatan tersebut sebenarnya terletak di pertmuan Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Memandangkan kedudukan geografi bandar ini terletak di kuala Sungai Lipis, maka nama Kuala Lipis digunakan. Kuala Lipis juga turut mendapat nama sempena sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Serau Lipis (Pavetta indica).

Gambar : Serau Lipis (Pavetta indica). Nama Kuala Lipis diilhamkan dari tumbuhan ini.

Sumber : hpb.narod.ru/adyar/flora.htm

Ceramah berakhir kira-kira jam 10 pagi setelah pensyarah pengiring iaitu Sr. Zuraini Md Ali menyampaikan cenderahati kepada penceramah. Kemudian kami bersama-sama mengambil gambar kenangan bersama penceramah di luar bangunan Pusat Penerangan Pelancongan sebelum kami semua dijamu dengan jamuan ringan yang disediakan.

Selesai jamuan kami bergerak menaiki bas menuju ke Bandar Kuala Lipis. Bas di parkir di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Kuala Lipis memandangkan pelajar muslim perlu Sembahyang Jumaat. Sementara itu pelajar lain mengambil peluang menyelusuri Bandar Lama Kuala Lipis bagi mengumpul data untuk analisis tapak dan juga makan tengahari.

Gambar : Bergambar kenangan bersama penceramah di hadapan Pusat penerangan Pelancongan Kuala Lipis.

Destinasi pertama persinggahan kami adalah Pejabat Pos Kuala Lipis. Walaupun pejabat pos tersebut merupakan salah satu daripada bangunan warisan sejarah di Kuala Lipis, tetapi kedudukan batu tanda kosong di sebelah bangunan tersebut lebih menarik perhatian kami. Saya turut mengambil peluang merakamkan gambar berlatarbelakangkan pejabat pos dan batu tanda tersebut sebagaikenangan bahawa kami pernah sampai di Kuala Lipis.

Gambar : Batu Tanda kosong di perkarangan Pejabat Pos Kuala Lipis

Sebenarnya tiada apa yang uniknya pada batu tunggul yang terpacak di sebelah pejabat pos tersebut. Tetapi sejarah disebalik kewujudannya iaitu sebagai menandakan permulaan sukatan jarak bagi Negeri Pahang dimana perkiraan kosong bermula dari Kuala Lipis telah menjadi kebanggaan penduduk Kuala Lipis sejak dahulu lagi.


Persinggahan seterusnya membawa saya dan beberapa orang rakan singgah ke stesen keretapi bagi meninjau keadaan di sana. Mana tahu kalau-kalau kami boleh mendapat beberapa orang responden yang boleh ditemuramah.

Gambar : Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lipis(atas).

Papan tanda menunjukkan destinasi sebelum dan selepas Stesen Keretapi Kuala Lipis.

Saya sendiri menggunakan kesempatan ketika itu untuk menemuramah Pengurus Stesen keretapi berkisar tentang perkhidmatan keretapi di Kuala Lipis serta mendapatkan jadual perjalanan bagi tujuan analisis tapak nanti. Ketika temuramah dibuat, mata saya tertarik melihat suatu alat yang saya sendiri tidak pernah temui terdapat didalam pejabat pengurus stesen tersebut.

Rupanya alat tersebut merupakan sistem semboyan yang digunakan bagi mengatur perjalanan traffik dan kebenaran memasuki stesen untuk keretapi transit di sesuatu stesen. Agak sukar untuk saya memahami keseluruhan sistem tetapi apa yang menariknya disini, alat yang dibawa dari London tersebut adalah alat yang amat sukar untuk ditemui pada hari ini tetapi pada masa yang sama alat tersebut masih dapat berfungsi dengan baik.

Gambar : Alat sistem semboyan yang digunakan sebagai mengawal traffik keretapi dan memberi

kebenaran memasuki stesen telah digunakan di sini sejak 1926.

Sebagai catatan, Stesen Keretapi Kuala Lipis telah mula beroperasi pada tahun 1926, dimana perkhidmatan ini merupakan pengangkutan darat pertama yang terdapat di Negeri Pahang ketika itu yang menghubungkan Kuala Lipis ke Johor Bharu di Selatan, Chegar Perah di Utara dan ke Tumpat, Kelantan. Ketika itu keretapi berfungsi sebagai mengangkut penumpang dan juga barang-barang seperti emas dan bijih timah ke pelabuhan. Pada perang dunia kedua pula, keretapi turut digunakan sebagai mengangkut Tentera Jepun ke selatan untuk menawan Singapura.

Kami mengambil masa yang agak lama meninjau keadaan dan gelagat penumpang di stesen keretapi. Rakan saya cuba mendekati beberapa pelajar sekolah menengah yang berunifom sekadar untuk berbual-bual dan bertanyakan satu dua soalan. Rupanya mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Cliffort yang menggunakan perkhidmatan keretapi untuk pulang ke kampung halaman di Gua Musang pada hujung minggu. Mereka yang agak malu-malu apabila didekati ternyata agak ramah dalam melayani soalan-soalan kami.

Di suatu sudut pula terdapat wanita-wanita separuh umur yang menjinjit barang-barang seperti cili api, jering dan sayuran kampung yang lain untuk dijual dipasar malam. Kebetulan ketika itu keretapi dari Singapura transit untuk mengambil penumpang menuju ke Tumpat, Kelantan. Sempat juga saya berseloroh dengan seorang makcik sambil mengigatkan agar jangan sampai ada barang jualannya yang tercicir.

Gambar : Suasana di Stesen Keretapi Kuala Lipis

Keasyikan memerahati gelagat manusia di stesen keretapi membuatkan kami lewat kembali ke bas dan pelajar-pelajar yang lain telahpun lama menunggu. Petang itu selesai Solat Jumaat, beberapa siri lawatan diatur melibatkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Kuala Lipis. Encik Ghani sekali lagi begitu berbesar hati untuk menjadi pemandu pelancong kami dan membawa rombongan kami melawat bangunan-bangunan bersejarah tersebut

Siri lawatan pertama membawa kami ke Sekolah Menengah Cliffort dan juga Malay Hostel. Bangunan yang masing-masing dibina pada tahun 1913 dan 1926 berfungsi sebagai sekolah menengah. Walau bagaimanapun malay hostel kini telah dijadikan sebagai bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Cliffort.

Gambar : Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis

Destinasi seterusnya memerlukan kami mendaki sebanyak 145 anak tangga untuk sampai ke atas bukit yang dikenali sebagai Bukit Pejabat yang menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis. Bangunan yang mempunyai ciri senibina neo-classical ini telah siap dibina pada 1919 sebagai Pusat Pentadbiran dibawah Kerajaan British itu adalah kompleks pentadbiran terawal ditubuhkan Negeri Pahang sebelum dipindahkan ke Kuantan.

Secara amnya bangunan ini masih berkeadaan baik dan tersergam indah. Namun begitu beberapa perubahan dibuat terutamanya pemasangan cermin kaca yang menutupi balkoni pejabat bagi tujuan pemasangan penyaman udara. Setelah mengambil gambar kenangan dan mendengan penerangan daripada Encik Ghani, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Lipis kami tinggalkan untuk menuju ke destinasi seterusnya.

Selepas itu rombongan kami dibawa pula untuk melawat Pahang Club iaitu satu-satunya bangunan kolonial yang terdiri daripada seratus peratus bahan kayu di Kuala Lipis. Sejarah bangunan Pahang Club yang agak panjang bermula apabila ia sebenarnya merupakan kediaman pertama Hugh Clifford sebelum berpindah ke Residensi. Siap dibina pada 1907 menjadikan bangunan pahang Club menjadi bangunan tertua semenjak Kuala Lipis diisytiharkan menjadi Ibu Negeri Pahang pada 1898 menggantikan Pekan. Setelah Hugh Cliffort berpindah ke Residensi pada 1922 fungsi bangunan ini beberapa kali telah ditukar bermula sebagai kediaman Inspektor Polis British sebelum ditinggalkan kosong pada 1926 sebelum Kerajaan British sekali lagi menukarkan bangunan ini sebagai kelab rekreasi bagi Pegawai-Pegawai Tinggi British.Namun begitu menjelang 1957 keahlian kelab ini telah dibuka kepada sesiapa yang mampu.

Gambar : Bangunan Pahang Club yang menjadi salah satu kajian lapangan

Dari Pahang Club kami berjalan kaki menuju Kediaman Pegawai Daerah. Rumah yang telah dinina pada 1929 ini terletak di atas tapak kubu Orang Kaya Haji Wan Daud yang ketika itu menguasai Lembah Sungai Lipis. rumah ini pada mulanya menempatkan kediaman W.C.Michell iaitu pentadbir dan juga pembantu kepada Sir Hugh Clifford. Tetapi kini ia menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah Lipis


Gambar : Kediaman Rasmi Pegawai Daerah.

Banyak yang diceritakan oleh Encik Ghani mengenai sejarah dan keistimewaan rumah ini. Sejarah yang begitu panjang sehinggakan sukar untuk saya fahami. Mungkin bila ada kelapangan saya akan juga mengkaji sejarah rumah tersebut lebih lanjut.

Gambar : Jambatan keretapi Kg Tanjung Jati Kuala Lipis.

Perjalanan kami teruskan menyusuri jalan kecil menuju ke sebuah jambatan keretapi. Di sana juga letaknya pertemuan dua sungai iatu Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang telah membentuk kepada perkembangan Bandar Kuala Lipis sehingga kini. Jelas kelihatan kebesaran Illahi melalui perbezaan warna air dua batang sungai tersebut. Maha Suci Allah yang menjadikan sungai-sungai tersebut terus mengalir mengikut arus dan menjadikan 2 batang sungai tersebut dapat dibezakan.

Gambar : Pertemuan antara Sungai Lipis (atas) dan Sungai Lipis

(bawah) yang menjadi permulaan terbentuknya Bandar Kuala Lipis

Kami semua sudah agak keletihan tetapi masih ada beberapa destinasi warisan yang perlu kami singgahi. Selepas kembali ke bas kami dibawa pula melawat kediaman bagi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur yang telah siap dibina pada 1920. Senibinanya pula bercirikan gabungan senibina melayu dan Palladian. Ciri senibina melayu begitu terserlah melalui ukiran kayu dan juga bumbungnya.

Menurut Encik Ghani, rumah ini telah menyaksikan sejarah dimana disinilah Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dilahirkan serta dibesarkan semasa bapa beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Rumah ini baru sahaja menjalani proses konservasi oleh Jabatan Warisan dan sebahagian besar dari ruang dalamannya diletakkan poster mengenai sejarah Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sejak dari dilahirkan sehingga sekarang. Rumah yang begitu indah dan bersejarah itu kami tinggalkan setelah masing-masing menulis buku pelawat dan mengambil gambar kenangan bersama-sama.

Gambar : Bekas Kediaman Setiausaha Kerajaan Negeri yang menjadi tempat Dato’ Seri Najib dilahir dan dibesarkan.

Akhirnya kami tiba di destinasi lawatan kami yang terakhir iaitu Zoo Lipis ketika hari sudah lewat petang. Zoo Lipis terletak di Bukit Bius tidak jauh dari bekas rumah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur. Zoo yang memelihara 42 spesis haiwan ini boleh dikunjungi setiap hari dengan kadar serendah RM 2 untuk dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak.

Jangan disangka bahawa bandar seperti Kuala Lipis mempunyai zoonya sendiri. Walaupun tidak begitu besar dan popular tetapi cukup sebagai permulaan bagi memelihara flora dan fauna yang kian terancam.

Burung hantu ini diberi nama Mina

Gambar : Sebelum pulang pensyarah dan beberapa pelajar mengambil peluang bergambar di Zoo Lipis.

Hari semakin merangkak senja. Kami meninggalkan Zoo Lipis setelah mengucapkan terima kasih dan memberikan sedikit cenderahati dari UM kepada Encik Ghani yang sudi membawa kami melawat sekitar Kuala Lipis. Kami juga sempat singgah di pasar malam untuk membeli juadah makan malam.

Banyak yang ada di pasar malam. Bermula dari bahan mentah seperti sayur-sayuran, makanan yang sudah dimasak sehinggalah kain baju boleh dibeli di sini. Cuma perlu hati-hati kerana harganya lebih sedikit dari yang biasa memandangkan bandar ini jauh dari bandar besar yang lain.


Masjid Negeri

Sebenarnya terdapat beberapa bangunan warisan yang tidak sempat untuk kami lawati memandangkan hari semakin lewat dan masing-masing keletihan seperti Masjid Negeri, Asrama Jururawat dan deretan rumah kedai di Bandar Lama Kuala Lipis. Namun begitu ada diantaranya yang kami sekadar singgah sebentar untuk melihat dari luar dan mendengar penerangan dari Encik Ghani.

Sabtu ,16 Januari 2010

Hari ketiga memerlukan kami bergerak awal dalam kumpulan masing-masing meninggalkan residensi untuk menjalankan pengukuran kondisi di bangunan kajian yang telah ditetapkan. Selepas menaiki bas dan bersarapan di Centripoint, bas bergerak menghantar kumpulan Binarki yang menjalankan kajian lapangan di Pahang Club sebelum menghantar saya dan ahli kumpulan yang lain ke Sekolah Menengah Cliffort.

Kerja-kerja pengukuran dimulakan selepas mendapat taklimat dari ketua kumpulan. Kami dibahagikan mengikut kawasan untuk menjalankan pengukuran kondisi dan juga HABS. Kerja pengurukan mengambil masa sehingga jam 3 petang sebelum bas sekali lagi menjemput kami untuk mengumpul data sekali lagi di Bandar Kuala Lipis bagi tujuan analisis tapak.

Gambar : Sekolah Cliffort dulu dan sekarang

Keunikan Sekolah Menengah Cliffort adalah terletak pada sejarah yang mewarnai sekolah tersebut. Walaupun tertera angka 1913 pada bangunan sekolah tersebut tetapi itu bukanlah tarikh sebenar bangunan itu didirikan sebaliknya merupakan tahun sekolah tersebut diasaskan oleh V.N Bartlett. Bangunan ini didirikan pada 1928 apabila bangunan kayu yang asalnya dibina di atas tapak padang sekolah sekarang musnah dalam banjir pada tahun 1926.

Gambar : Mengumpul sepihan plaster mortar kapur untuk diuji di makmal.

Sejak bangunan sekolah itu dirasmikan oleh Hugh Cliffort yang telah menjadi Pesuruhjaya British ketika itu, sekolah ini terus melakar sejarah suka dan duka. Misalnya ketika perang dunia yang kedua sekolah ini telah di jadikan markaz tentera Jepun. Maka tidak hairanlah jika dikatakan tedapat wujudnya terowong bawah tanah yang menghubungkan sekolah ini dengan beberapa tempat di Lipis.

Gambar : Kumpulan Cabana bergambar dihadapan Blok E Sekolah Menengah Cliffort selepas selesai melakukan ukur kondisi.

Ketika mengumpul data kami sekali lagi dipecahkan mengikut kawasan dan tugas yang berbeza. Saya diberi tugas untuk melakukan kaji selidik bersama 9 orang rakan yang lain di Bandar Lama Kuala Lipis. Responden sasaran saya merupakan sesiapa sahaja yang boleh didekati bagi mendapatkan maklumat.

Daripada temuramah dan kaji selidik yang telah saya jalankan (walaupun hasil kajiselidik tersebut belum dianalisa sepenuhnya) dapat saya gambarkan bagaimana kehidupan dan harapan penduduk sekitar Kuala Lipis mengenai bandar mereka.

Rata-rata yang ditemui berharap agar Kuala lipis dapat dimajukan sebagai kawasan pelancongan walaupun bagi kebanyakan dari mereka Kuala lipis tidak mempunyai apa-apa keistimewaaan. Memang pelik tetapi itulah harapan mereka. Tidak kurang juga yang berharap agar diwujudkan kawasan perindustrian supaya peluang pekerjaan dapat lebih banyak diwujudkan memandangkan kos sara hidup mereka yang agak tinggi.

Tetapi apa yang agak menyedihkan, sepanjang dua hari berada di sini kami seringkali dimomokkan dengan cerita hantu yang sering menjadi misteri di Kuala Lipis. Rasanya cerita-cerita seperti ini tidak perlulah dipanjang-panjangkan walaupun kisah mistik seperti ini ada logiknya memandangkan kawasan ini mempunyai sejarah hitam semasa pendudukan Jepun. Kisah ini dikuatkan lagi dengan cerita pengalaman sebenar warga tua yang pernah melihat sendiri dengan mata kepala sendiri kekejaman Jepun terhadap orang tempatan.

Menjelang 6 petang kami semua harus pulang ke rumah rehat bagi membuat persiapan BBQ dinner yang akan dijalankan malam nanti.

Selepas maghrib kami menikmati makan malam BBQ dinner yang disediakan sendiri oleh pensyarah kami. Beberapa pelajar turut membantu membuat persediaan dan juga memanggang ayam. Selain BBQ menu pada malam itu dilengkapkan lagi dengan nasi goreng, sup, buah dan air laici yang sungguh lazat. Lokasi makan malam ini agak istimewa iaitu di perkarangan rumah rehat tempat kami menginap.

Selesai makan malam dan membersihkan kawasan BBQ kami pulang ke bilik masing-masing. Ramai yang diantara kami memilih untuk tidur awal memandangkan esok pagi kami perlu bangun awal dan bersiap-siap untuk pulang. Tidak kurang juga ahli kumpulan Amoris yang bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja terakhir kajian lapangan dan ukur kondisi mereka di bangunan rumah rehat atau residensi ini.

Ahad, 17 Januari 2010

Selesai mandi saya bersiap-siap dan mengemas barang. Kami semua akan pulang semula ke Kuala Lumpur pada pagi ini. Kami semua mengambil keputusan untuk pulang lebih awal memandangkan segala data yang diinginkan telah mencukupi.

Gambar : Kumpulan Amoris (atas), Binarki (tengah) dan Amoris (bawah) bersama pensyarah di hadapan

bangunan Residensi yang telah dijadikan rumah rehat.

Sebelum bergerak meninggalkan rumah rehat kami sempat merakamkan beberapa keping gambar kenangan bersama ahli kumpulan yang lain. Selepas ini kami akan ke Bandar Lama Kuala Lipis untuk sarapan pagi sebelum menuju ke Hutan Rekriasi Lentang untuk bermandi - manda dalam perjalanan pulang nanti.Walaubagaimanapun selepas bersarapan kami sempat lagi mencari beberapa orang responden untuk menjawab soalan kajiselidik kami.

Tidak lama selepas itu Kuala Lipis kami tinggalkan bersama 1001 kenangan yang tidak dapat kami lupakan. Kepuasan terpancar di mata setiap ahli rombongan kami kerana berjaya menjalankan kajian lapangan. Namun begitu tugas lebih berat menanti kami setibanya di Kuala Lumpur nanti. Laporan analisis tapak dan kertas cadangan perlu buat bagi memenuhi kehendak subjek. Tetapi sebelum itu tugas berat tersebut kami lupakan seketika semasa singgah di Hutan Rekreasi Lentang untuk bermandi-manda sambil menikmati keindahan ciptaan tuhan.

Bagi saya Kuala Lipis mempunyai keistimewaan tersendiri yang perlu dipelihara dan boleh diketengahkan sebagai kawasan pelancongan. Bermula dengan lokasi, bentuk muka bumi sehinggalah warisan sejarahnya, amat menarik untuk diterokai.

Gambar : Pintu gerbang Hutan Rekreasi Lentang (atas) .Gadis-gadis sunti yang kegembiraan merasaikedinginan air sungai di Hutan Rekreasi Lentang (bawah)

Saya teringat kata-kata seorang respondan yang saya temui di Masjid Negeri di Bandar Lama Kuala Lipis semasa hari pertama berada di sana. Menurut beliau keistimewaan Kuala Lipis adalah apabila sesiapa yang datang ke sana pasti akan datang lagi ke daerah itu suatu hari nanti.

Sekian.

4 comments:

  1. Salam. Jurnal anda membuatkan saya menitiskan air mata, lebih-lebih lagi apabila anda menyentuh tentang Sekolah Menengah Clifford yang menjadi temmpat menuntut ilmu sekaligus kenangan zaman persekolahan saya. Benar,Kuala Lipis harus dibangunkan menjadi satu destinasi eco-tourism yang popular suatu hari nanti. Insyaallah saya akan membuat thesis master saya berkenaan Bandar Kuala Lipis seterusnya hasil kajian diberikan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk penilaian. Amin...

    ReplyDelete
  2. Sdr Pemilik Blog,

    Saya telah meneliti artikel yang dipersembahkan.baik dari segi persembahannya namun banyak fakta sejarah yang sdri tidak membaca tentang penyelidikan saya yang telah dibukukan bertajuk "Menyingkap Lembah Bama Sebagai Pusat Perdagangan Terawal DiAsia tenggara ...diterbitkan tahun 2009 " dimana termasuklah Kuala Lipis. Ini semua peninggalan kolonial yang menjajah Pahang.Buku saya kedua diterbitkan tahun 2011 bertajuk " Kajian Hikayat Seri Rama Sebagai Naskhah Tertua DiNusantara " turut mengkaji Daerah Lipis. Bagi menjelaskan ini sila baca blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com

    Wasssalam

    Dr Aminudin

    ReplyDelete
  3. Admin tumpang sekejap yer...
    Mana -mana individu yang berminat melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Temerloh, Pahang dalam program 'Furniture Design' boleh hubungi sms/wassup di 0148004302 -mohd, Yuran semester yang murah dan dapat elaun(bukan pinjaman) lagi
    elaun : rm1200/sem
    yuran : rm200/sem
    https://www.facebook.com/PerabotKKtemerloh

    ReplyDelete
  4. Dimaklumkan saya student UPM yang sedang melakukan projek perancangan landskap di Kuala Lipis. Secara ikhlasnya saya minta agar kak menghulurkan bantuan dengan menyumbangkan informasi dan pelan-pelan yang berkaitan seperti topografi.

    ReplyDelete

© ~ is powered by Blogger - Template designed by Stramaxon - Best SEO Template