Pages

Friday, August 3, 2012

Istana Ampang Tinggi

Posted by at 7:38 AM

Istana Ampang Tinggi telah dibina pada tahun 1865 atas titah perintah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke lima (5) pada masa itu iaitu Yamtuan Ulin atau lebih dikenali sebagai Yamtuan Imam sebagai istana hinggap. Tapak asal istaana tersebut adalah di sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi bernama Kampung Ampang Tinggi. Kampung hanya tinggal nama sahaja pada hari ini tetapi menurut sumber ianya terletak kira-kira 3 batu dari Kuala Pilah dan 6 batu dari Seri Menanti (Morley,1958 dan Shepard,1962a).

Selepas siap dibina, istana tersebut telah dianugerahkan sebagai hadiah perkahwinan kepada puteri tuanku iaitu Tunku Chindai yang berkahwin dengan Tengku Muda Chik. Tengku Muda Chik adalah anak kepada kekanda Yam Tuan Ulin yang telah menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke empat (4) iaitu Yam Tuan Radin.Maka bersemayamlah Tunku Chindai dan Tengku Muda Chik di istana tersebut walaupun Yam Tuan Ulin telah mangkat pada 1869.

IAT telah diwariskan kepada Tunku Halijah iaitu puteri hasil perkongsian hidup Tunku Chindai dengan Tengku Muda Chik. Tengku Halijah merupakan isteri kedua Yamtuan Muhammad iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke lapan (8). Yamtuan Muhammad sering berulang alik dari Sri Menanti untuk melawat Tengku Halijah semasa hayatnya.

Selepas mangkatnya Tunku Halijah pada 1921, tidak ada sesiapa yang mewarisi istana tersebut kerana satu-satunya anakanda tuanku telah meninggal dunia pada 1914 semasa bertugas sebagai pegawai tadbir di Pahang (Shepard, 1962b). Selepas dari itu, IAT hanya dihuni oleh ahli keluarga Tunku Muda Chik dari masa ke semasa sehinggalah istana tersebut ditinggalkan kosong tanpa dihuni secara tetap pada sekitar tahun 1930.

Tahun 1953 telah memberikan harapan baru kepada istana ini apabila bangunan yang telah ditinggalkan dan tidak lagi beratap ini telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke lapan (8) iaitu Tuanku Abdul Rahman untuk di pindahkan ke Seremban. Bertitik tolak dari itu, bermulalah proses pemuliharaan dan pengekalan bangunan warisan ini yang dianggap mempunyai seni pertukangan melayu yang sangat halus (Shepard,1962a).

Menurut (Norhalim, 2002) hanya bahagian tengah bangunan ini sahaja yang dipindahkan berhampiran dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang kini menempatkan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Bangunan yang telah dipindahkan ini pula telah dijadikan sebagai Muzium Negeri dan telah dirasmikan pada 20 Mei 1954.Akhirnya pada 1983 IAT sekali lagi dirombak dan dipindahkan ke tapak sekarang iaitu di Taman Seni Budaya, Jalan Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Kepentingan sejarah disebalik IAT tersirat disebalik peristiwa penting bangunan tersebut sejak ia didirikan sehinga sekarang. Bangunan ini merupakan salah satu peniggalan sejarah untuk tatapan generasi pada hari ini bahawa suatu masa dahulu beginilah rupa istana hinggap yang menjadi tempat persinggahan raja mereka.



Rujukan

Morley, P. (1958, March 2). Two Minangkabau Timber House. Journal of FMSA .

Shepard, M. (1962). Malay Pallace of The Past. Malaya in History , VIII, 21-25.

Shepard, M. (1962). Four History Malay Timber Buildings. Faderation Museums Journal, 87- 93.

Norhalim Ibrahim. (2002). Istana Ampang Tinggi. Warisan, Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Sembilan ,25, 197.

Norhalim Ibrahim. (2007). Ruang dan Fungsi Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

© ~ is powered by Blogger - Template designed by Stramaxon - Best SEO Template