Comments

Pages

Wednesday, February 24, 2010

Juruukur Bangunan patut diiktiraf

Posted by at 12:06 AM Read our previous post
Tarikh: 13/08/2007

Surat Khabar: Berita Harian

PENGANJURAN Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) hari ini dan esok adalah bukti bahawa kerajaan benar-benar inginkan pembaharuan dalam sistem pengurusan dan penyelenggaraan bangunan awam yang hilang hala tuju dan keberkesanannya.

Keperluan mengadakan konvensyen yang julung kali ini kelihatan begitu mendesak berikutan beberapa siri kerosakan bangunan kerajaan yang begitu hangat dilaporkan media tempatan sehinggakan ia secara tidak langsung mencalar kredibiliti Jabatan Kerja Raya (JKR) yang selama ini diberi kepercayaan dalam mengurus serta memantau kerja pengurusan dan penyelenggaraan bangunan awam.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu, Kementerian Kerjaraya (KKR) memaklumkan kepada umum bahawa segala masalah berkenaan akan diatasi dengan merangka pelan jangka panjang iaitu mewujudkan Bahagian Juruukur Bangunan dan Unit Penyelenggaraan Pusat di bawah JKR bagi memantau serta mengurus kerja penyelenggaraan dan kawalan pembinaan dengan lebih sistematik dan berkesan.

Usaha itu dibuat selepas KKR mendapati bahawa jurusan Juruukur Bangunan adalah satu-satunya kursus ditawarkan institusi pengajian tinggi awam dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek kawalan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan bagi memastikan sistem serta prosedur kerja dapat diseragamkan di bawah unit berkenaan.

Tanpa unit berkenaan, proses membaiki terutama apabila ia membabitkan keruntuhan struktur bangunan akan mengambil masa lama termasuk urusan penyediaan kertas cadangan pembaikan dan pelantikan kontraktor.

Proses itu akan menyebabkan kerosakan menjadi bertambah buruk dan kosnya terus meningkat, selain pekerja tidak dapat bertugas dengan selesa.

Apa yang menjadi harapan dengan berlangsungnya Nafam 2007 nanti ialah peranan Juruukur Bangunan perlu diiktiraf sejajar pengetahuan dan kemampuannya dalam membantu kerajaan mengurus serta melaksanakan kerja penyelenggaraan bangunan dengan lebih berkesan.

Kebolehan Juruukur Bangunan tidak perlu dipertikaikan kerana kesediaan KKR untuk mewujudkan Bahagian Juruukur Bangunan di JKR adalah satu pengiktirafan kementerian terbabit.

Selain itu, profesion ukur bangunan ini sememangnya sudah lama mendapat pengiktirafan daripada Institute of Surveyor Malaysia, Royal Institute of Chartered Surveyor, United Kingdom, Balai Ikhtisas Malaysia, Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi melakukan kerja kawalan dan pemeriksaan bangunan.

Juruukur Bangunan boleh memastikan undang-undang bangunan dipatuhi dan memeriksa keadaan bangunan serta keperluan keselamatan, menasihati kerja perubahan, penambahbaikan, pemuliharaan bangunan, keperluan insurans dan pengurusan guna ruang.

Apa juga rumusan yang akan dibuat dan dilaksanakan Nafam 2007 diharap dapat memberi sedikit berita gembira buat ribuan graduan Juruukur Bangunan yang menanti hampir 13 tahun bagi mendapatkan pengiktirafan kerajaan dalam membela nasib mereka untuk sama-sama memainkan peranan dalam industri pembinaan dan pengurusan bangunan negara.

Nafam 2007 dijangka akan lebih berjaya dan dapat merealisasikan segala objektif dirangka dengan lebih cepat dan sistematik kerana kaedah pelaksanaannya digalas mereka yang pakar iaitu hasil gabungan tenaga pakar yang terdiri daripada Arkitek, Jurutera serta Juruukur Bangunan yang sememangnya dilatih dalam aspek pembinaan secara mendalam.

Semua kerosakan membabitkan aset kerajaan dapat diuruskan secepat mungkin tanpa perlu melalui kerenah birokrasi. Cara ini juga dapat membaiki sistem penyampaian kerajaan yang selama ini dipertikaikan banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri.



No comments:

Post a Comment

© ~ is powered by Blogger - Template designed by Stramaxon - Best SEO Template